JKR 10 (2) oleh Najah Asri

 

Dari rumah kecil di Kampung Langgar, kami berpindah ke rumah agam JKR 10, setelah aboh menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan. Tentunya saya masih bayi ketika itu. Pengalaman saya di sana, tak lama, cuma 8 tahun. Ingatan saya di JKR 10 agak samar2 walaupun kini hampir setiap minggu saya melalui rumah agam ini. Setiap kali ke Tesco untuk membeli belah barangan dapur, saya pasti akan melalui jalan ‘bypass’ yang akan melalui hadapan dan tepi JKR 10.

Kenangan di sana sudah hampir 42 tahun berlalu. Banyak ingatan yang hilang ketika di sana. Ibaratkan jigsaw puzzle yang kehilangan banyak kepingan, jika dicantumkan, akan kelihatanlah lompong di sana sini. Saya tidak ingat cerita terperinci saya di sana. Siapa dan bagaimana rupa orang2 di sana, sama ada mereka pekerja mahupun rakan sepermainan saya (yang kebanyakkan anak2 pekerja di sana).

Ruang bawah rumah JKR 10, tempat kami bermain2 setiap hari. Kakak2 saya suka bermain congkak di sini. Saya hanya jadi pemerhati. Pertamanya, tangan saya kecil, untuk mengaup biji2 getah yang digunakan sebagai buah congkak. Mengikut cerita kakak saya sebelum ini, batu2 kecil digunakan sebagai biji congkak. Tapi dalam ingatan saya, pernah ke Bawah Lembah, ketika pergi mengaji Al Quran, singgah ke kebun getah untuk mengutip biji2 getah yang bertaburan untuk dibuat biji congkak. Kedua, masih ramai kakak2 lain yang menunggu giliran untuk bermain congkak ini dan saya bukanlah orang yang penyabar. Ketiga, saya ni jenis keras kepala dan suka menang. Agak sukar bagi saya untuk menerima kekalahan. Maka itu, saya lebih suka bermain kejar2 atau nyorok2 dengan adik lelaki bongsu kami, Mohd Taqiyuddin (kami panggil dia Aki) dan rakan2 lain. Tidak lama kemudian, mok belikan kayu congkak dari Singapura dan guli digunakan sebagai bijinya.

Selain  itu, di bawah rumah ini juga kakak2 suka bermain masak2. Puas bermain masak olok2, kakak2 kadang akan bermain masak2 yang menggunakan api yang betul. Dan tugasan saya dan Aki ialah ‘mencuri’ apa2 bahan yang boleh dimasak di dapur. Saya guna perkataan mencuri kerana kami anak2 tidak dibenarkan sama sekali masuk dapur, apalagi mahu mengambil barangan dapur. Pekerja2 di JKR 10 sememangnya mempunyai kuasa dan boleh saja marah atau pukul kami jika melanggar peraturan. Tidak pernah pula terlintas di fikiran kami untuk mengadu pada mok atau aboh. Mungkin juga mok dan aboh sentiasa sibuk keluar berkempen, menjadikan kami lupa nak mengadu apabila mereka pulang. Dan kami pula dilatih untuk mendengar kata orang tua.

Musim tengkujuhlah, saat yang paling indah bagiku. Mana tidaknya, musim ini di akhir tahun, bersamaan dengan musim cuti sekolah. Maka saya dibenarkan bermain dan tidur sesuka hati. Pernah saya mengikut kakak2 pergi main air bah (banjir). Kami berjalan dari JKR 10 ke Bulatan Kijang. Bulatan Kijang ini dulu sangat masyhur kerana ianya merupakan satu2nya bulatan di Kota Bharu. Di dalam bulatan, terdapat bangku2 untuk duduk dan pokok2 bunga di sekitar, yang menjadikan bulatan ini seperti taman kecil. Di tengah2 bulatan, terdapat beberapa ekor kijang, siap dengan air pancutan Sekarang bulatan ini sudah tiada, digantikan dengan lampu isyarat. Ianya persimpangan dari Kota Bharu ke jambatan Sultan Yahya Petra, hala menuju ke Pasir Mas, Tumpat atau ke Pengkalan Kubor. Atau persimpangan dari arah jalan Kampung Sireh ke Jalan Sultanah Zainab.

Perjalanan ke bulatan dari JKR 10 tidaklah begitu jauh sebenarnya tetapi disebabkan kami pergi tanpa izin mok, ditambah pula kakak membawa saya dan Aki yang masih kecil, maka semua yang pergi kena marah dan tentunya kena cubit – hukuman wajib mok. Mok tak pernah guna rotan. Tapi tanpa rotan pun, cubitan mok sudah sangat berbisa bagi kami. Saya yang kecil tidak terkecuali menerima cubitan mok, walau mungkin kekuatan cubitan tidak seberapa kuat dengan kakak2.

Apabila hujan turun mencurah2, parit di sekitar JKR 10 akan dipenuhi dengan air. Dulu parit ini memang terasa besar, bagi tubuh saya yang kecil. Dengan imaginasi si puteri dongeng, saya jadikan air di parit ini sebagai ‘kolam mandi’ saya yang panjang. Habis bunga2 cempaka cina mok, saya petik dan taburi kolam. Jika cempaka cina tidak berbunga, maka bunga tahi ayam (marigold) saya taburi. Bau bunga tahi ayan ini sangat busuk tapi tak mengapa, asalkan kolam saya dipenuhi bunga.

Di musim ini juga JKR 10 akan riuh dengan beberapa orang dari Kampung Bawah Lembah yang akan ‘berkampung’ di JKR 10. Wah, rumah MB juga jadi pusat pemindahan mangsa banjir!. Tentu sekarang senario begini tidak mungkin lagi berlaku. Tiap kali waktu makan, keadaan seolah2 satu kenduri besar, walaupun menunya cuma lauk sardin dan ikan kering. Tapi bagi saya, makan bersama, ramai2, sangat meriah.

Hingga kini, setiap kali musim tengkujuh tiba, saya pasti akan menyediakan menu sebegini untuk keluarga dengan tambahan lauk telur goreng dadar dan sambal belacan cili padi. Menu yang ringkas tetapi sangat menyelerakan!

Di ruang tetamu, terdapat almari, tempat penyimpanan piala2 kemenangan rakyat Kelantan yang memenangi berbagai pertandingan. Di ruangan ini, kakak2 saya suka adakan pertandingan ‘ratu cantik’. Saya antara peserta wajib. Kami perlu berjalan, memperagakan pakaian dan menyanyi atau menari. Tetapi rasanya kehadiran saya adalah hanya untuk meramaikan penyertaan. Ini kerana sepanjang ingatan saya, kami yang masih kecil, tidak pernah memenangi pertandingan ini. Yang menang, adalah antara kakak2, yang mana mereka juga menjadi pengadil. Hadiahnya, tentulah piala2 yang ada di situ. Dalam pertandingan ini, saya tidak pernah mengamuk untuk menang kerana bagi saya ianya tidak mencabar langsung. Tetapi saya suka menyertai pertandingan ini kerana saya akan di ‘make-up’ oleh kakak2 dengan begitu cantik sekali.

JKR 10 saban hari menerima tetamu. Ada yang datang dan pergi. Ada yang menginap sehari atau seminggu mahupun berbulan. Saya tidak pernah tahu urusan apa mereka ke sana. Maklumlah, di usia kanak2, apa yang lebih menarik bagi saya ialah, ramainya tetamu, menjadikan rumah kami bagaikan berpesta.

Pernah datang seorang tetamu istimewa, kata mok. Saya dan Aki suka tetamu ini, kerana dia sabar melayan kerenah dan kenakalan kami yang bukan kepalang. Kami panggil tetamu ini ustaz. Saya tak ingat berapa hari ustaz bertamu tetapi sempatlah kami meminta ustaz menyanyi, lagu ‘tudung periuk’. Ya, saya ingat sangat lagu ini kerana ianya lagu kegemaran kakak sulong kami. Kami pun menyanyilah bersama2. Rupa2nya Ustaz Jais Anwar ini memanglah tetamu yang sangat istimewa kerana dia dibawa bertamu oleh aboh untuk dijodohkan dengan kakak sulong kami, Noordianauli.

Aboh dan mok memang ‘sporting’. Walaupun jodoh kakak telah dirancang, tetapi aboh berikan kesempatan untuk kakak kami mengenali bakal suaminya. Apabila bersetuju, barulah pernikahan diteruskan. Kami panggil kakak sulong dengan panggilan Teti (bemaksud kakak). Bagi yang lebih tua, memanggilnya Noor dan saudara di sebelah mok di Perak memanggilnya Mek. Teti sangat cakna (mengambil berat hal) adik2nya, terutamanya saya dan Aki. Sementelahan pula beza usia saya 14 tahun dengan Teti. Kadang saya panggil Teti, mami dan panggil Abang Jais dengan panggilan papa.

Majlis pernikahan Teti diadakan pada awal tahun 1970 (kalau tak silap saya) dan saya ketika itu, baru berusia 6 tahun. Majlis kenduri kahwin Teti, mengikut cerita, telah diadakan selama 3 hari berturut2. Satu majlis perkahwinan yang terbuka. Tiada kad atau jemputan kahwin diperlukan. Sesiapapun boleh hadir dan makan. Jika ada yang datang berulang2 kali selama tiga hari itu pun, tiada yang menghalang. Ada juga yang datang, minta dibungkuskan lauk untuk dibawa pulang ke rumah.

Acara kemuncak kenduri ialah pada malam hari ketiga, dengan kehadiran Sultan Kelantan, DYMM Sultan Yahya Petra (kini Al Marhum) dan DYMM Raja Perempuan Zainab (kini Al Marhum) dan Tengku Mahkota, DYMM Tengku Ismail Petra (kini, DYMM Sultan Ismail, ayahanda Sultan Kelantan sekarang, Sultan Muhammad V). Tiada acara menepung tawar, kerana pengantin tidak bersanding. Hanya acara makan malam beradap.

Pada malamnya, saya dan Aki berkeras hendak tidur bersama Teti. Walau di pujuk, dimarah, mahupun dicubit, kami tetap dengan pendirian mahu tidur di kamar pengantin!. Masakan tidak, bilik pengantin dihias bagai peraduan permaisuri cerita dongeng. Katilnya kayu tegap berukir, warna putih. Cadar dan kelambunya dari kain French lace yang lembut dan menawan. Aroma kamar yang sungguh semerbak mewangi. Maka tidurlah kami berempat di kamar yang indah tersebut.

Di tengah malamnya, saya dan Aki terjaga kelaparan. Rupa2nya dek terlalu asyik mengintai Sultan dan dif2 terhormat bersantap, lupa pula kami makan. Tugasan pertama pengantin baru ialah mencari makanan di dapur untuk adik2. Masalahnya, apabila ada majlis keramaian, dapur JKR 10 tidak berasap, kerana lauk pauk ditempah dari katering. Hahaha, kesian Teti dan Abang Jais, malam pengantinnya sibuk dengan memberi makan adik2 yang nakal. Tentu ada yang geram pada saya bila membaca kisah ini kan?

Dalam ramai2 tetamu yang pernah datang, ada seorang tetamu, yang tiap kali datang, pasti mencari saya dan berbisik bahawa dia adalah ibu kandung saya dan satu hari nanti akan bawa saya pulang ke rumahnya. Satu jenaka yang tidak lucu, orang tua dulu2. Cakapnya terkesan juga di hati. Hendak tanyakan mok, saya tak berani. Mok ada ramai anak angkat yang bukan mok pelihara dari kecil tetapi mok hanya menjaga mereka dan hantar mereka ke sekolah. Terfikir juga, mungkin saya salah seorang darpada mereka? Kemudian, ada pula sepasang suami isteri, yang berasal dari Mesir, yang sering bertamu ke JKR 10, secara bergurau, katanya hendak mengambil saya sebagai anaknya dan bawa pulang ke Mesir. Pasangan ini, Ustaz Badran dan Mimi, adalah tenaga pengajar di Nilam Puri. Maka itu, saya seringkali mengelak dan menyorok jika datangnya tetamu2 ini.

5.3.1973, tarikh kami berangkat ke Kuala Lumpur, meninggalkan JKR 10 dalam kenangan. Saya ingat sangat dengan tarikh ini kerana ianya berlawanan dengan tarikh lahir saya, 3 haribulan 5. Maka bermulalah episod hidup kami sebagai orang Kuala Lumpur. Pulang ke Kelantan pun, 3 atau 4 tahun sekali.

Kelantan semakin jauh dari saya. Tapi mujurlah Cik Timoh dan Cik Min datang berkhidmat dengan kami dan menjadi sebahagian daripada keluarga besar kami. Cik Timoh yang dulunya merupakan salah seorang chef katering yang sering aboh tempah jika ada majlis keramaian. Melalui mereka, loghat Kelantan kami tidak luntur, walau agak sedikit pelat. Saya belajar makan budu dan bermacam2 ulam pun dari Cik Timoh.

Namun, ketika memperkenalkan diri, saya tidak pernah menyatakan saya berasal Kelantan. Bagaimana hendak mengaku, selain makan budu dan bercakap loghat Kelantan yang cair, apa2 mengenai Kelantan, tidak saya tahu sedikit pun.

Pernah aboh menyuarakan hasrat hatinya untuk kembali menetap di Kota Bharu, beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia. Sayalah yang paling lantang menentang. Kerasnya hati ini, sampai melukai hati kecil seorang ayah.

Kalaulah aboh bisa mendengar dan melihat tika ini, alangkah baiknya. Ingin saya nyatakan, bahawa anak bongsu perempuan aboh dah beralah. Saya dah kahwin dengan anak jati Kelantan dan pulang menetap di negeri aboh, seperti yang aboh suarakan pada pagi 28.8.1992, hari terakhir aboh, yang hanya beberapa jam sahaja sebelum aboh dijemput kembali ke Rahmatullah. Semoga roh aboh dan mok tenang di sana. Al Fatihah.

Iklan

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout /  Ubah )

Foto Google

You are commenting using your Google account. Logout /  Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout /  Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout /  Ubah )

Connecting to %s