JKR 10

Agam: besar (Kamus Dewan Edisi Keempat, ms-14)

Terletak di Kampung Sirih, Kota Bharu, Kelantan. Rumah rasmi Menteri Besar Kelantan ialah rumah agam berwarna putih dengan halaman yang luas. Sebagai rumah rasmi dan rumah orang nombor satu di negeri, bersebelalahan dengan rumah Ketua polis Kelantan.
Halaman luas yang selalunya jika ada keramaian atau jamuan, disinilah juga tempatnya. Aku masih ingat sewaktu acara menyambut wira kecil yang mendapat pingat Hang Tuah juga dirayakan di sini.
Jika terdapat jamuan atau perayaan, kami akan mengintai dari balik jendela atau kisi2. Kami tidak pernah ikut serta merayakan kerana ini acara rasmi, acara kerajaan, bukan acara anak kecil walaupun sambutan itu untuk pingat Hang Tuah.
Setelah Aboh diangkat menjadi Menteri Besar, kami berpindah dari langgar ke JKR 10, Kampung Sirih.Bilik2 yang besar tetapi hanya ada 3 bilik sahaja termasuk bilik tetamu. Kamudian baru ditambah satu bilik tidur lagi dan juga bilik mesyuarat kerana sering diadakan mesyuarat hingga jauh malam. Aku mulai mengerti tentang politik, aktiviti politik kerana aku bersama-sama menjalaninya, mengikutinya dan pernah bercita2 untuk berkecimpung dalam arena politik. He….impian yang musnah dan terlupakan.
Mulailah episode baru di rumah ini. Selain kelaurga kami yang besar dengan anak-anak, anak angkat, anak saudara, adikadik mok juga bertambah dengan keluarga orang gaji.. Di belakang rumah agam terdapat tiga berek rumah pembantu dan juga dapur utama. Untuk pembantu perempuan yang belum berkahwin, mereka tidur bersama-sama kami. Tidak ada bezanya pembantu dan kami anak-anak Aboh dan Mok. Kami makan bersama-sama malah rasanya mereka lebih berkuasa dan menentukan mana yang boleh dan tidak.
Pernah saudara kepada pembantu kami datang dan menginap di rumah dan tidur bersama-sama kami. Tiba-tiba pada sebelah malam, ia meraung-raung dan kerasukan. Aboh terjaga dan keluar dari bilik tidur serta mententeramkan dengan membaca ayat-ayat Quran. Setelah semuanya tenang, Aboh menanggil-manggil namaku. Aboh terkejut kerana setelah melihat perempuan tersebut kerana disangkanya aku. Rupanya perempuan tadi memakai bajuku. Aku juga tidak menyangka bila bajuku dipakainya. Tidak ada kebenaran dariku. Di sinilah merdekanya orang-orang di rumah agam ini. Mereka boleh ambil apa saja tanpa memberitahu.
Bahagian bawah rumah agam, kami sering bermain nyorok-nyorok dan main congkak. Tanah yang keras digali dan dibuat lubang, Batu-batu kecil dicari untuk batu congkak. Tangan kami tentu kotor sekali setelah bermain. Basuh tangan sambil menggosok-gosok supaya tanah yang melekat hilang.
Sekarang kalau pulang ke Kota Bharu, mesti aku meihat lagi rumah agam yang mempubyai nilai-nilai tersendiri. Tidak banyak berubah dan tidaklah sebesar mana kalau dibandingkan dengan rumah agam yang lain. Mungkin waktu kita kecil, melihat yang besar-besar terasa sangat besar.
Musim banjir? Rumah agam ini juga menjadi tempat perlindungan sementara bagi penduduk bawah lembah yang berada di bahagian belakang. Rumah mereka tenggelam sehingga hanya kelihatan bumbung. Keadaan memang ramai. Nasi yang dimasak dengan menggunankan kawah dan juga lauknya ikan sardine atau ikan kering. Setelah banjir surut, rumah agam pernah didatangi ular tedung dan sempat mengejarku. Dan syukur Alhamdulilah, ular tedung tersebut agak susah merayap di atas simen dan sempat dipukul-pukul dengan menggunakan buluh oleh pekerja.
Setahun aku di sini sebelum bersekolah asrama di Kuala Lumpur. Banyak juga acara-acara yang terlepas perhatian. Setelah itu aku menyambung pelajaran di Tingkatan empat Kolej Islam Kelang.Pulang ke JKR 10 hanya kalau cuti sekolah.
Jika ada yang bertanya, masih ingatkan dengan mereka, maaf sekali, aku memang tidak ingat dan perhatikan orang lain selain penghuni rumah agam. Memang kadang2 mereka mengenali aku tetapi ya…..seperti tadi kukatakan aku tidak memperhatikan orang di luar rumah agam. Mungkin ada yang bercakap bahawa aku sombong…silakan. Memang jikalau pulang bercuti, aku lebih suka di bilik. Tidur dan tidur….seperti anak2 asrama yang lain yang rasanya cuti itu untuk tidur setelah mematuhi disiplin asrama. He…
JKR 10 juga pernah didatangi orang yang kurang waras atau pura2 gila. Tak tahulah…tetapi datang untuk meminta bantuan dengan mengelilingi rumah sambil membaca ayat2 yang tidak kedengaran ayat apa yang dibacanya. Kami panggil ia Tok Wali Saad kerana memakai jubbah dan serban yang mungkin tidak dicucui beberapa minggu.
Jika tahun baru persekolahan, ramai yang datang untuk meminta bantuan buku ataupun wang. Hari2 lain juga begitu walaupun tidak sebanayk tahun baru. Tetamu memang terus-menerus berdatangan, baik urusan politik mahupun urusan yang lain. Pernah ada tetamu wanita bertanya kepada Mok, di mana bilik isteri muda? Mok hanya mengatakan, di hujung sana. Aku yang mendengarnya terkejut tetapi Mok dengan santainya menjawab. Itu gossip tahun 60-an… Mok memang seorang yang tegar, kuat semangat dan saling mendokong antara satu sama lain dengan Aboh.Gosip yang lebih hebat lagi banyak. Dan mereka bangga telah membuat gossip yang dipercayai oleh rakyat. Pernah seorang jiranku di Kondominium memperkanalkan dirinya bekas ADUN dan pernag menyebar fitnah tentang harta yang melimpah berserta gambar2 yang ada perkataan Asri,. Ia mengatakan dengan bangganya bahawa penyebaran tu telah berjaya dan itu ialah usahanya. Masya-Allah Ada juga jenis manusia yang begitu bangga dengan fitnah yang telah disebarnya. Jadi teringat cerita Abu Nawas dengan bantal kekabu…. Masa itu tidak ada internet dan fb apalagi blog.
Setelah mempunyai lesen memandu, tugasku bertambah, menghantar adik ke sekolah sebelum aku sendiri ke sekolah (tigkatan enam, Institut Pendidikan) dan yang paling terkesan ialah menjadi drebar waktu pilihan raya. Aku akan menjemput pengundi-pengundi dari rumah mereka untuk mengundi ke suatu tempat mengundi. Pengundi wanita sahaja….. Mereka juga tidak mahu menaiki kereta yang dipandu oleh lelaki. Dari pagi hingga waktu mengundi berakhir. Letih tapi kan waktu itu masih muda dan bersemangat. Pada hal jalannya bolak-balik dan kalau biasanya tentu akan membosankan.
Jamuan makan malam?…paling suka sewaktu tetamu akan masuk ke bilik mesyuarat yang juga menjadi ruang makan. Aku mengintai di balik jaring2 melihat tetamu yang canti-cantik2 dan bergaya. Kadang-kadang kami tidak sempat makan kerana semua makanan sudah dihidangkan di ruang jamuan (Ajah tentu ada ceita tentang ini).
Kamudian kami berpindah ke Kuala Lumpur.
(sebenarnya masih banyak cerita lagi tetapi mahu adinda Najah menyambung cerita ini, yang tentu sahaja menarik kerana zaman kecilnya bermula di sini. Gambar?…..tidak banyak. Mesti mencari dengan adik-adik yang lain)

 

Iklan

Satu respons untuk “JKR 10

  1. Najah Asri berkata:

    JKR 10

    Dari rumah kecil di Kampung Langgar, kami berpindah ke rumah agam JKR 10, setelah aboh menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan. Tentunya saya masih bayi ketika itu. Pengalaman saya di sana, tak lama, cuma 8 tahun. Ingatan saya di JKR 10 agak samar2 walaupun kini hampir setiap minggu saya melalui rumah agam ini. Setiap kali ke Tesco untuk membeli belah barangan dapur, saya pasti akan melalui jalan ‘bypass’ yang akan melalui hadapan dan tepi JKR 10.

    Kenangan di sana sudah hampir 42 tahun berlalu. Banyak ingatan yang hilang ketika di sana. Ibaratkan jigsaw puzzle yang kehilangan banyak kepingan, jika dicantumkan, akan kelihatanlah lompong di sana sini. Saya tidak ingat cerita terperinci saya di sana. Siapa dan bagaimana rupa orang2 di sana, samada mereka pekerja mahupun rakan sepermainan saya (yang kebanyakkan anak2 pekerja di sana).

    Ruang bawah rumah JKR 10, tempat kami bermain2 setiap hari. Kakak2 saya suka bermain congkak di sini. Saya hanya jadi pemerhati. Pertamanya, tangan saya kecil, untuk mengaup biji2 getah yang digunakan sebagai buah congkak. Mengikut cerita kakak saya sebelum ini, batu2 kecil digunakan sebagai biji congkak. Tapi dalam ingatan saya, pernah ke Bawah Lembah, ketika pergi mengaji Al Quran, singgah ke kebun getah untuk mengutip biji2 getah yang bertaburan untuk dibuat biji congkak. Kedua, masih ramai kakak2 lain yang menunggu giliran untuk bermain congkak ini dan saya bukanlah orang yang penyabar. Ketiga, saya ni jenis keras kepala dan suka menang. Agak sukar bagi saya untuk menerima kekalahan. Maka itu, saya lebih suka bermain kejar2 atau nyorok2 dengan adik lelaki bongsu kami, Mohd Taqiyuddin (kami panggil dia Aki) dan rakan2 lain. Tidak lama kemudian, mok belikan kayu congkak dari Singapura dan guli digunakan sebagai bijinya.

    Selain daripada itu, di bawah rumah ini juga kakak2 suka bermain masak2. Puas bermain masak olok2, kakak2 kadang akan bermain masak2 yang menggunakan api yang betul. Dan tugasan saya dan Aki ialah ‘mencuri’ apa2 bahan yang boleh dimasak di dapur. Saya guna perkataan mencuri kerana kami anak2 tidak dibenarkan sama sekali masuk dapur, apalagi mahu mengambil barangan dapur. Pekerja2 di JKR 10 sememangnya mempunyai kuasa dan boleh saja marah atau pukul kami jika melanggar peraturan. Tidak pernah pula terlintas di fikiran kami untuk mengadu pada mok atau aboh. Mungkin juga mok dan aboh sentiasa sibuk keluar berkempen, menjadikan kami lupa nak mengadu bila mereka pulang. Dan kami pula dilatih untuk mendengar kata orang tua.

    Musim tengkujuhlah, saat yang paling indah bagiku. Mana tidaknya, musim ini di akhir tahun, bersamaan dengan musim cuti sekolah. Maka saya dibenarkan bermain dan tidur sesuka hati. Pernah saya mengikut kakak2 pergi main air bah (banjir). Kami berjalan dari JKR 10 ke Bulatan Kijang. Bulatan Kijang ini dulu sangat masyhur kerana ianya merupakan satu2nya bulatan di Kota Bharu. Di dalam bulatan, terdapat bangku2 untuk duduk dan pokok2 bunga di sekitar, yang menjadikan bulatan ini seperti taman kecil. Di tengah2 bulatan, terdapat beberapa ekor kijang, siap dengan air pancutan Sekarang bulatan ini sudah tiada, digantikan dengan lampu isyarat. Ianya persimpangan dari Kota Bharu ke jambatan Sultan Yahya Petra, hala menuju ke Pasir Mas, Tumpat atau ke Pengkalan Kubor. Atau persimpangan dari arah jalan Kampung Sireh ke Jalan Sultanah Zainab.

    Perjalanan ke bulatan dari JKR 10 tidaklah begitu jauh sebenarnya tetapi disebabkan kami pergi tanpa izin mok, ditambah pula kakak membawa saya dan Aki yang masih kecil, maka semua yang pergi kena marah dan tentunya kena cubit – hukuman wajib mok. Mok tak pernah guna rotan. Tapi tanpa rotan pun, cubitan mok sudah sangat berbisa bagi kami. Saya yang kecil tidak terkecuali menerima cubitan mok, walau mungkin kekuatan cubitan tidak seberapa kuat dengan kakak2.

    Apabila hujan turun mencurah2, parit di sekitar JKR 10 akan dipenuhi dengan air. Dulu parit ini memang terasa besar, bagi tubuh saya yang kecil. Dengan imaginasi si puteri dongeng, saya jadikan air di parit ini sebagai ‘kolam mandi’ saya yang panjang. Habis bunga2 cempaka cina mok, saya petik dan taburi kolam. Jika cempaka cina tidak berbunga, maka bunga tahi ayam (marigold) saya taburi. Bau bunga tahi ayan ini sangat busuk tapi tak mengapa, asalkan kolam saya dipenuhi bunga.

    Di musim ini juga JKR 10 akan riuh dengan beberapa orang dari Kampung Bawah Lembah yang akan ‘berkampung’ di JKR 10. Wah, rumah MB juga jadi pusat pemindahan mangsa banjir!. Tentu sekarang senario begini tidak mungkin lagi berlaku. Tiap kali waktu makan, keadaan seolah2 satu kenduri besar, walaupun menunya cuma lauk sardin dan ikan kering. Tapi bagi saya, makan bersama, ramai2, sangat meriah.

    Hingga kini, setiap kali musim tengkujuh tiba, saya pasti akan menyediakan menu sebegini untuk keluarga dengan tambahan lauk telur goreng dadar dan sambal belacan cili padi. Menu yang ringkas tetapi sangat menyelerakan!

    Di ruang tetamu, terdapat almari, tempat penyimpanan piala2 kemenangan rakyat Kelantan yang memenangi berbagai pertandingan. Di ruangan ini, kakak2 saya suka adakan pertandingan ‘ratu cantik’. Saya antara peserta wajib. Kami perlu berjalan, memperagakan pakaian dan menyanyi atau menari. Tetapi rasanya kehadiran saya adalah hanya untuk meramaikan penyertaan. Ini kerana sepanjang ingatan saya, kami yang masih kecil, tidak pernah memenangi pertandingan ini. Yang menang, adalah antara kakak2, yang mana mereka juga menjadi pengadil. Hadiahnya, tentulah piala2 yang ada di situ. Dalam pertandingan ini, saya tidak pernah mengamuk untuk menang kerana bagi saya ianya tidak mencabar langsung. Tetapi saya suka menyertai pertandingan ini kerana saya akan di ‘make-up’ oleh kakak2 dengan begitu cantik sekali.

    JKR 10 saban hari menerima tetamu. Ada yang datang dan pergi. Ada yang menginap sehari atau seminggu mahupun berbulan. Saya tidak pernah tahu urusan apa mereka ke sana. Maklumlah, di usia kanak2, apa yang lebih menarik bagi saya ialah, ramainya tetamu, menjadikan rumah kami bagaikan berpesta.

    Pernah datang seorang tetamu istimewa, kata mok. Saya dan Aki suka tetamu ini, kerana dia sabar melayan kerenah dan kenakalan kami yang bukan kepalang. Kami panggil tetamu ini ustaz. Saya tak ingat berapa hari ustaz bertamu tetapi sempatlah kami meminta ustaz menyanyi, lagu ‘tudung periuk’. Ya, saya ingat sangat lagu ini kerana ianya lagu kegemaran kakak sulong kami. Kami pun menyanyilah bersama2. Rupa2nya Ustaz Jais Anwar ini memanglah tetamu yang sangat istimewa kerana dia dibawa bertamu oleh aboh untuk dijodohkan dengan kakak sulong kami, Noordianauli.

    Aboh dan mok memang ‘sporting’. Walaupun jodoh kakak telah dirancang, tetapi aboh berikan kesempatan untuk kakak kami mengenali bakal suaminya. Apabila bersetuju, barulah pernikahan diteruskan. Kami panggil kakak sulong dengan panggilan Teti (bemaksud kakak). Bagi yang lebih tua, memanggilnya Noor dan saudara di sebelah mok di Perak memanggilnya Mek. Teti sangat cakna (mengambil berat hal) adik2nya, terutamanya saya dan Aki. Sementelahan pula beza usia saya 14 tahun dengan Teti. Kadang saya panggil Teti, mami dan panggil Abang Jais dengan panggilan papa.

    Majlis pernikahan Teti diadakan pada awal tahun 1970 (kalau tak silap saya) dan saya ketika itu, baru berusia 6 tahun. Majlis kenduri kahwin Teti, mengikut cerita, telah diadakan selama 3 hari berturut2. Satu majlis perkahwinan yang terbuka. Tiada kad atau jemputan kahwin diperlukan. Sesiapapun boleh hadir dan makan. Jika ada yang datang berulang2 kali selama tiga hari itu pun, tiada yang menghalang. Ada juga yang datang, minta dibungkuskan lauk untuk dibawa pulang ke rumah.

    Acara kemuncak kenduri ialah pada malam hari ketiga, dengan kehadiran Sultan Kelantan, DYMM Sultan Yahya Petra (kini Al Marhum) dan DYMM Raja Perempuan Zainab (kini Al Marhum) dan Tengku Mahkota, DYMM Tengku Ismail Petra (kini, DYMM Sultan Ismail, ayahanda Sultan Kelantan sekarang, Sultan Muhammad V). Tiada acara menepung tawar, kerana pengantin tidak bersanding. Hanya acara makan malam beradap.

    Pada malamnya, saya dan Aki berkeras hendak tidur bersama Teti. Walau di pujuk, dimarah, mahupun dicubit, kami tetap dengan pendirian mahu tidur di kamar pengantin!. Masakan tidak, bilik pengantin dihias bagai peraduan permaisuri cerita dongeng. Katilnya kayu tegap berukir, warna putih. Cadar dan kelambunya dari kain French lace yang lembut dan menawan. Aroma kamar yang sungguh semerbak mewangi. Maka tidurlah kami berempat di kamar yang indah tersebut.

    Di tengah malamnya, saya dan Aki terjaga kelaparan. Rupa2nya dek terlalu asyik mengintai Sultan dan dif2 terhormat bersantap, lupa pula kami makan. Tugasan pertama pengantin baru ialah mencari makanan di dapur untuk adik2. Masalahnya, apabila ada majlis keramaian, dapur JKR 10 tidak berasap, kerana lauk pauk ditempah dari katering. Hahaha, kesian Teti dan Abang Jais, malam pengantinnya sibuk dengan memberi makan adik2 yang nakal. Tentu ada yang geram pada saya bila membaca kisah ini kan?

    Dalam ramai2 tetamu yang pernah datang, ada seorang tetamu, yang tiap kali datang, pasti mencari saya dan berbisik bahawa dia adalah ibu kandung saya dan satu hari nanti akan bawa saya pulang ke rumahnya. Satu jenaka yang tidak lucu, orang tua dulu2. Cakapnya terkesan juga di hati. Hendak tanyakan mok, saya tak berani. Mok ada ramai anak angkat yang bukan mok pelihara dari kecil tetapi mok hanya menjaga mereka dan hantar merka ke sekolah. Terfikir juga, mungkin saya salah seorang darpada mereka? Kemudian, ada pula sepasang suami isteri, yang berasal dari Mesir, yang sering bertamu ke JKR 10, secara bergurau, katanya hendak mengambil saya sebagai anaknya dan bawa pulang ke Mesir. Pasangan ini, Ustaz Badran dan Mimi, adalah tenaga pengajar di Nilam Puri. Maka itu, saya seringkali mengelak dan menyorok jika datangnya tetamu2 ini.

    5.3.1973, tarikh kami berangkat ke Kuala Lumpur, meninggalkan JKR 10 dalam kenangan. Saya ingat sangat dengan tarikh ini kerana ianya berlawanan dengan tarikh lahir saya, 3 haribulan 5. Maka bermulalah episod hidup kami sebagai orang Kuala Lumpur. Pulang ke Kelantan pun, 3 atau 4 tahun sekali.

    Kelantan semakin jauh dari saya. Tapi mujurlah Cik Timoh dan Cik Min datang berkhidmat dengan kami dan menjadi sebahagian daripada keluarga besar kami. Cik Timoh yang dulunya merupakan salah seorang chef katering yang sering aboh tempah jika ada majlis keramaian. Melalui mereka, loghat Kelantan kami tidak luntur, walau agak sedikit pelat. Saya belajar makan budu dan bermacam2 ulam pun dari Cik Timoh.

    Namun, ketika memperkenalkan diri, saya tidak pernah menyatakan saya berasal Kelantan. Bagaimana hendak mengaku, selain makan budu dan bercakap loghat Kelantan yang cair, apa2 mengenai Kelantan, tidak saya tahu sedikit pun.

    Pernah aboh menyuarakan hasrat hatinya untuk kembali menetap di Kota Bharu, beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia. Sayalah yang paling lantang menentang. Kerasnya hati ini, sampai melukai hati kecil seorang ayah.

    Kalaulah aboh bisa mendengar dan melihat tika ini, alangkah baiknya. Ingin saya nyatakan, bahawa anak bongsu perempuan aboh dah beralah. Saya dah kahwin dengan anak jati Kelantan dan pulang menetap di negeri aboh, seperti yang aboh suarakan pada pagi 28.8.1992, hari terakhir aboh, yang hanya beberapa jam sahaja sebelum aboh dijemput kembali ke Rahmatullah. Semoga roh aboh dan mok tenang di sana. Al Fatihah.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout /  Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout /  Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout /  Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout /  Ubah )

Connecting to %s