LANGGAR

Langgar: laga, rempuh, serang, tempuh.

Langgar II: surau, madrasah.

Langgar III: kawasan pemakaman diraja.

Langgar IV: bahagian yang beratap  dan menganjur dari rumah ibu.

(Kamus Dewan Edisi Keempat)

Kami pernah tinggal di dua tempat di Kampung Langgar, Kota Bharu, Kelantan. Walaupun namanya kampung tetapi masih dalam Jajahan Kota Bharu dan tidak jauh dari bandar Kota Bharu. Apa lagi sekarang rasanya seperti di tengah-tengah bandar.

Kampung Langgar I

Awal 1960-an

langgarRumah yang kami diami ialah rumah yang disewa dan letaknya  betul-betul sebelah Masjid Langgar. Kami belajar mengaji Al-Quran di Masjid Langgar. Masih terbayang-bayang lagi ruang tempat kami mengaji dan guru yang mengajar sambil memegang rotan halus yang panjang. Guru mengaji sangat baik. Rasanya tidak pernah sekalipun beliau merotan murid yang nakal. Rotan itu hanya digunakan untuk merotan lantai yang bunyinya juga membuat perut kecut dengan muka tertunduk. Selepas mengaji kami solat Asar berjemaah.

Aboh biasanya akan solat berjemaah di surau  setelah  pulang dari kerja. Kalau hari Jumaat, abangku jg mesti solat di surau dan kami tidak boleh bising di rumah. Aku tidak berapa ingat kegiatan aboh pada masa itu kerana masih kecil.

Setiap petang Khamis, diadakan bacaan Al-Quran di makam  diraja. Makam  utama yang terpisah daripada makam kerabat diraja lain kerana terdapat dalam satu ruang yang tertutup. Pekerja akan membersihkannya setiap hari Khamis. Setelah acara bersih-bersih, kami akan diberi mihun yang dibungkus. Inilah yang dinantikan oleh teman-teman mengaji dan bermain. Untuk anak-anak kecil….eh termasuk saya akan diberi wang 10 sen. Besar tu nilai pada waktu itu. Jadi kami mesti menuggu acara tersebut setiap minggu.  Adakah lagi acara seperti ini?

Aku masih ingat peristiwa mangkatnya Sultan Ibrahin, Sultan Kelantan padatahun 1960. Ramai betul rakyat yang datang ke Langgar. Semasa arakan jenazahbaginda, wang syiling  ditabur di jalan dan anak-anak kecil berebutan untuk mengambilnya.

Di sekitar makam diraja terdapat pokok daun kari. Setiap kali mok ingin memasak kari, aku disuruh mengambilnya di pokok di makam diraja. Makam itu  juga tempat kami bermain nyorok-nyorok. Daun kari ini tetap diambil setelah kami pindak ke Langgar II.

Mok masih mengajar di Sekolah Majlis pada masa itu Sebelum umurku tujuh tahun, aku selalu ikut mok mengajar dan duduk di bangku paling belakang di kelas.

Setiap pagi Jumaat sebelum solat Jumaat, di depan rumah terdapat orang-orang yang berjaualan seperti pasar tani sekarang. Tapi tidak ramai. Sesuai dengan jumalh penduduk pada waktu itu. Acara ini juga akan ditunggu-tunggu kerana wang 10 sen yang kami dapat pada hari khamis akan dibelanjakan pada hari Jumaat. Selalunya aku akan membeli ubi  keeling dan buah keranji yang disukat dengan tin susu.

Ke sekolah?….kami akan dijemput dengan beca yang dipanggil teksi setiap pagi  dan tengah hari. Macam bas sekolah sekarang ni…

Najah tidak dapat membri komen untuk Langgar I ini….belum  lahirlah.

Kampung Langgar II

Kamudian kami berpindah ke tempat yang kedua ini. Rumahnya lebih besar dengan bertambahnya keluarga. Maksudku ialah adik-adik Mok dari Perak. Rumah ni terletak dekat Sekolah Kebangsaan Langgar dekat dengan Hotel Renaissance ketika ini.

Empat bilik tidur dan ruang dapurnya mempunyai lantai yang agak jarang. Aku sering ke bawah rumah ruang dapur untuk mencari duit syiling yang jatuh dari atas. Lumayanlah untuk membeli kacang dan ais krim. He….

Ratna Inzah, Mutia Sabihah, Naliah, Nasibah

Rumah ini aboh beli tetapi tanahnya sewa dari tuan tanah yang juga tinggal di depan rumah kami. Nama-nama jiran? Masih lagi ingat…Wan Mashoor yang bertugas di Istana Kota Bharu dan Cikgu Ghani iaitu Guru Besar Sekolah Kebangsaan Langgar. Walaupun rumah kami dekat dengan sekolah tetapi aku masih lagi bersekolah di Sekolah Rendah  Majlis yang sekarang dikenal dengan nama Maahad Muhammadi (dulu ada sekolah rendah).

Apabila hari raya tiba, mok akan membeli kain segulungan. Semuanya memakai baju dengan corak yang sama baik kami adik-beradik mahupun emak-emak saudara. Baju-baju kami dijahit oleh Mok.

Keluarga kami juga melanggan daging lembu Mok Nab  yang dihantar ke rumah kira-kira 3 kali seminggu.

Sewaktu di rumah inilah pada tahun 1963,  aboh mendapat anugerah Seri Paduka Mahkota Kelantan (SPMK) yang bergelar Dato’. Tetapi gelar ini ditarik balik setelah Krisis Politik Kelantan

Bergambar setelah menerima anugerah SPMK

Aku mulai  mengerti kegiatan politik aboh. Selalu kawan-kawan politik aboh datang dan berbincang di rumah. Kempen-kempen pilihan raya yang berlangsung pada 1964 bermula. Terdapat tangkapan dan rumah kami dijaga oleh ramai orang.  Yang aku ingat satu nama baru ketika itu:  Pemuda Tahan Lasak dari Parti Perikatan. Banyak brosur dan lembaran tentang pilihan raya diedar. Bahkan pernah helikopter berlegar-legar di ruang udara rumah kami dan lembaran juga juga disebar melalui  udara. Kami yang tidak tahu apa-apa sangat suka melihat helikopter dan berebut untuk mengambil lembaran  yang disebar. Tapi kami tak tahu apa isi  yang tertulis di lembaran tersebut. Yang aku ingat keseronokan mengalami peristiwa yang tidak pernah terjadi.

Konfrantasi dengan Indonesia bermula. Aboh dikatakan menyebelahi Indonesia. Sememangnya aboh baru pulang dari menziarahi keluarga/adik Mok iaitu Ibu Habibah Junid dan keluarga. Banyak peristiwa terjadi waktu itu. Dr Burhanudian ditahan di bawah ISA. Ustaz Zulkifli Mohammad dan isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Maka Aboh memikul tugas yang lebih berat sebagai sebagai Pemangku YDA PAS.

Pada tahun ini juga,  Aboh dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan dan sebelumnya adikku Najah telah lahir. Nama Najah yang bererti BERJAYA dalam bahasa Arab sempena kemenangan dalam pilihan raya dan juga dilantik sebagai Menteri Besar.

Bermulalah kehidupan kami di JKR 10.

jah, mohon berita terbaru Langgar.

Iklan

2 respons untuk ‘LANGGAR

  1. Najah Asri berkata:

    Kg Langgar II

    3 Mei, 1964. Di sinilah tempat kelahiranku. Mok lahirkan 10 dari 11 orang anak2nya di ruumah. (Adik bongsu kami, anak mok ke sebelas, dilahirkan di hospital) Maka itu, yang tercatit di surat beranakku, ialah Kg Langgar. Nama Najah ini diambil sempena kemenangan aboh di pilihanraya tahun 1964. Menurut cerita aboh, arwah Ustaz Zulkifli Muhammad, sempat melawat mok yang baru melahirkan saya sebelum pulang ke Perak, selepas keputusan pilihanraya diumumkan. Tapi yang hairannya di surat beranak saya, tertulis pekerjaan ayah sebagai : Menteri Besar Kelantan. Mungkin kelahiran saya didaftarkan lewat atau sudah diketahui ramai yang aboh akan menjadi MB slps menang pilihanraya.

    Rumah yang diduki aboh dan keluarga, melalui jalan sebelah SK Kg Langgar. Teringat cerita arwah ibu saudara kami, Allahyarhamah Khadijah Binti Sheikh Junid, yang kami semua panggil mama. Mama mengajar di sekolah ini. Mama pernah cerita, dia mengajar mengeja dengan huruf jawi. Dengan alat bantuan mengajar (gambar sebuah tilam), mama mengajar; “ta… ya… lam… mim…, sebutannya apa murid2?” Jawab muridnya; “lembek”. (lembek ini bahasa dialek Kelantan, maknanya tilam) Hahaha saya akan ketawa suka hati, walaupun mama kerap ulang cerita ini. Saya yang belum pun bersekolah tadika ketika itu, rasanya tak sabar nak bersekolah.

    Sekolah ini terletak berhadapan dengan Hotel Renaissance. Tapi tak ramai yang tahu di situ ada hotel 5 bintang ini. Ada pernah seorang sahabat bercerita, yang dia menaiki kereta sewa (teksi) dari Pasir Putih dan meminta pemandu teksi menurunkannya di hotel tersebut. Pemandu itu meminta sahabat memberitahunya apabila sudah hampir sampai, kerana dia tidak tahu di mana Hotel Renaissance itu. Apabila sampai, pemandu itu pun berkata : “Oh, nak turun di Billion ko?”

    Sebut nama Billion, rasanya semua orang Kelantan tahu. Di sini, tedapat 3 bangunan, satu bangunan, namanya Kota Sri Mutiara, sebuah kompleks membeli belah dan pejabat kerajaan untuk daftar niaga. Di sebelah kiri bangunan ini, terdapat sebuah kondominium dan di sebelah kanannya terdapat bangunan Hotel Renaissance itu. Tapi tak ramai tahu nama Kota Sri Mutiara ini, yang terletaknya pasaraya Billion ini . Nama Billion juga yang dikenali. Hebat pengaruh nama ini.

    Berbalik kepada cerita langgar II. Rumahnya di belakang bangunan yang ada kedai Watson dan 7 eleven. Lebih tepatnya, di belakang perumahan teres 2 tingkat SBJ. Di kawasan rumah inilah tempatnya pengusaha rempah langgar yang tersohor itu. Saya biasanya ke sini apabila ada kakak2 yang mengirim rempah khuzi atau kerutuk yang sedap.

    Walaupun kami kemudiannya berpindah ke rumah MB di JKR 10, Kg Sireh, kami kerap ke Kg Langgar karana arwah mama tinggal di sana. Kalau cuti2 sekolah, kami yang kecil2 ini suka ke rumah mama kerana anak2 mama sebaya dengan saya dan adik. Anak sulong mama, Dr Nida Salahudin, membuka klinik di Wakaf Baru. Anak ke dua mama, yang muda 5 bulan dari umur saya, Dr Zulkifli Salahudin, ketua jabatan ENT di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Seperti arwah mok, mama suka bercerita dan diselang selikan dengan nyanyian. Mok kami sentiasa sibuk, berkempen di sana sini. Maka mama lah pengganti mok kami ketika itu.

    Mok kami merupakan anak sulong dari 15 orang adik beradiknya, hasil perkahwinan arwah datuk kami, Allahyarham Sheikh Junid Thola dengan 3 orang isteri. Isteri pertamanya, Sariah, ibu kepada mok. Kemudian datuk kami mengahwini Siti Hajar, adik kepada Sariah, setelah nenek kami meninggal dunia. Dengan Pan Hajar (kami panggil Pan, yang bermaksud nenek), kami ada 10 orang ibu dan bapa saudara yang sangat kami kasihi. Dengan isteri ke tiga, datuk kami memperolehi 4 orang anak. Setelah arwah datuk meninggal, ke empat2 adik mok dari isteri ketiga datuk dipelihara oleh keluarga sebelah keluarga mak mereka di Chemor. Maka itulah tak banyak kenangan kami bersama mereka.

    Mok sayangkan adik2nya. Kalau boleh, semua mok nak ambil pelihara. Sebenarnya seawal baru kahwin lagi mok dah ambil seorang atau dua adik2 untuk tinggal dengan mok (sewaktu mok di Semanggol). Setelah berpindah di Kelantan, hanya setelah bepindah di Langgar II, lebih ramai adik2 mok datang tinggal bersama kami. Maka tak heranlah apabila 5 orang adik2 mok; mama, pakcik Parok, Mok Ne, Mok Neng dan Poksu Kail, mengikuti jejak mok, berkahwin dengan orang Kelantan.

  2. Najah Asri berkata:

    *tolong masukkan cerita di bawah ini slps perenggan ke 5 di atas.*

    Mok Nab yang membekalkan daging 3 kali seminggu ke rumah kami, kemudiannya berniaga sambal daging. Sambal dagingnya di antara sambal daging yang terkenal di Kg Langgar. Setelah Mok Nab meninggal dunia, perniagaan ini diambil alih oleh anaknya, Rahimah. Kawasan memproses sambal daging Rahimah (Mok Nab) – [jenama sambal dagingnya], bersih. Tidak hanya kawasan proses sambal, dalam rumah Rahimah ini pun bersih dan kemas, hatta tandasnya juga bersih. Bagi saya, bersih tandas, bersihlah makanan yang dia sediakan untuk kita. Saya memang suka buat ‘spot check’ kawasan sebelum membeli. Susah juga jadi pelanggan yang ‘payoh bbaso’ (cerewet) macam sayan ni, kan?

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout /  Ubah )

Foto Google

You are commenting using your Google account. Logout /  Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout /  Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout /  Ubah )

Connecting to %s