BAGAS SANGKAR

Bagas – rumah (bahasa mandailing)

Sangkar – sarang, sarang (Kamus Dewan, Edisi Keempat, ms 1388)

Untuk  nama rumah (jika mahu memberi nama) boleh saja menggunakan perkataan dari bahasa-bahasa lain seperti maison,casa,ghraha, wisma, villa, istana, gubuk, pondok tetapi aboh dan mok lebih suka menggunakan perkataan Bagas Sangkar dan terdapat pada tiang pintu masuk ke rumah kami. Aboh dan mok berharap bagas dan sangkar untuk kami tinggal dan kalau pun keluar akan kembali juga ke sana.

Bagas Sangkar bagiku dan sesiapa yang pernah tinggal di situ mempunyai nolstagia, baik manis ataupun pahit.

Ini nama rumah Allahyarham aboh dan mok yang beralamat di no 10 Lorong Titiwangsa 5 yang dulunya dikenal sebagai Jalan Swee Guat. Terletak di hujung belokan. Dapat dituju melalui Jalan Pahang dan juga LorongTitiwangsa 2.

PETA TTWANGSA

 

Rumah yang kedua kami tempati setelah pindah dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Rumah pertama ialah rumah yang disewa di no 10 Jalan Aman, dekat dengan Hotel Double Tree by Hilton.

Lima bilik di tingkat satu (setelah aboh menambah satu bilik lagi kerana mempunyai penghuni yang ramai) dan lima bilik di tingkat bawah iaitu dua buah bilik tamu (kami selalu menerima tetamu dari pelbagai negara) dan tiga bilik di bahagian belakang yang dihuni oleh Chef Cik Timoh dan suaminya Cik Min, Aqi – adik bungsu dan sebuah bilik lagi untuk sesiapa saja yang menginap di sana. Allahyarham aboh dan Mok senang sekali menerima tetamu, yang katanya tetamu membawa rezeki bagi kita semua. ATUK-MONI1

Di timur rumah induk terdapat surau atau balasoh. Surau  yang didirikan dengan bahan kayu dan bercirikan rumah Melayu yang mempunyai tangga dan beranda di depannya. Apabila didatangi musafir-musafir terutama dari Sumatra Utara, mereka akan tinggal di sini. Selain tempat untuk solat berjemaah, malamnya juga untuk melelapkan mata bagi para musafir. Mereka bukan sahaja tinggal beberapa hari tetapi ada juga sampai dua tahun sambil menunggu diterima di universiti Timur Tengah dan juga biasiswa ataupun sadeqah dari dermawan.(Alfatihah buat Allahyarham  Tun Datu Mustapha, bekas Ketua Menteri Sabah. Aboh selalu bercerita, beliau salah seorang yang selalu memberi sadeqoh untuk musafir yang akan pergi ke Timur Tengah untuk belajar, baik berupa wang, tiket pesawat dll. Aboh juga sempat membiayai tiga orang musafir untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah dengan wang Tokoh Maal Hijrah). Alfatihah untuk Aboh dan Mok.

Di belakang surau terdapat sangkar burung yang besar. Lebih dari sepuluh ekor burung love bird yang berwarna-warni. Terdapat juga pokok sirih yang daunnya sangat lebar menjalar di sangkar.

Di sebelah barat rumah induk dan agak ke belakang terdapat  tempat letak kereta dan juga pavilion atau rumah kecil yang mempunyai dua bilik yang ditempati oleh pemandu dan keluarganya. Terdapat tangki air yang tinggi, juga pokok rambutan di halaman yang luas dan di hadapan pintu masuk, terdapat pondok pengawal.

TITIWANGSA2aAnjung rumah menghadap ke barat, tempat aboh membaca surat khabar setiap pagi. Setelah aboh meninggal dunia, kami masih terbayang-bayang aboh sedang membaca akhbar. Ruang tamu bersebelahan dengan ruang kerja aboh. Banyak buku-buku yang disusun dalam rak di belakang meja kerja aboh. Setelah satu hari aboh meninggal dunia, aku menyusun dan membersih ruang kerja dan terdapat gambar aboh berukuran passport dan disampulnya tertulis angka 28 ogos, iatu tarikh aboh meninggal dunia.

Ruang makan yang selalunya menjamu tetamu bersebelahan  ruang keluarga. Ruang-ruang ini dindingnya dilapisi kertas dinding dan permaidani. Dan terdapat cerita-cerita di luar, yang KATA MEREKA, kalau berjalan di atas permaidani, kaki akan tenggelam sehingga ke buku lali (he…tebal betul permaidani ni, mungkin terbuat daripada bulu binatang?). Manakala ruang makan keluarga terletak bersebelahan dapur bersih. Chef Cik Timoh tidak suka memasak di ruang dapur bersih. Arwah lebih suka memasak di dapur di  bahagian bawah yang tidak berdinding dan terdapat gerhe/pangkin. Di situ terdapat periuk belanga dan peralatan masak Chef Cik Timoh. Jangan siapa ganggu kerana peralatan tersebut telah disusun untuk melancarkan kerjanya. Pisau-pisau arwah mempunyai pelbagai fungsi, pisau potong bawang, pisau potong sayur, pisau potong daging dan pisau yang lain. Pisau potong bawang tidak boleh digunakan untuk potong buah atau ayam. Tugas Cik Timoh sebenarnya berat juga, kerana Bagas Sangkar sering menerima tetamu sampai malam. Selagi tetamu tidak pulang, selagi tulah air dan makanan dihidangkan. Kami sering mengatakan Bagas Sangkar ini ialah Reston Kita yang buka 24 jam. Apa lagi pada waktu parlimen bersidang. Mesyuarat  dan perbincangan setiap hari sehingga pukul 3 pagi. Di sinilah fungsi arwah Cik Min, suami arwoh Cik Timoh. Arwah akan menghidangkan air dan makanan. Pada pagi hari arwah akan menghidangkan sarapa pagi dan setelah beres, arwah akan ke kedai mamak untuk minum. Ha….tukang buat air pun minum di kedai mamak. Pernah Cik Min ditanyai, seseorang di depan rumah. Di mana rumah Datuk Asri? Cik Min memberitahu….tok tau…ni rumoh Ayoh Mat. Cik Min…Cik Min…arwah tak kenal pun dengan yang bernama Datuk Asri, hanya kenal dengan nama Ayoh Mat. Arwoh Cik Min, penghibur hati, tak pernah bermasam muka. Selalunya senyum….

TITIWANGSA6Belanja barang-barang dapur, kami pergi ke Hock Choon, Jalan Ampang  dan belanja makanan segar ke Pasar Borong Selayang setiap hujung minggu. Dulu RM100 sudah penuh bonet belakang kereta.Peti sejuk khusus untuk menyimpang bahan-bahan segar, kerana kami sering menerima tetamu Mok juga membeli sayur dari van sayur datang ke rumah kerana tidak setiap hari ke pasar.

Di depan 3 buah bilik di belakang, ada juga ruang keluarga dan sebuah tv. Selalunya tv2 cerita Hindustan. Apabila tanya Cik Min, pehe ko crito tu?Tok, tengok muko come jah…. Sebenarnya Cik Min ok jugalah wajahnya. Dan Chef Cik Timoh? Woooo cantik….campuran Pakistan, hidung mancung. Alfatihah untuk arwah Cik Min dan Cik Timoh.

 

Tentu banyak yang terlepas pandang dalam kenagangan Bagas Sangkar. Jika ada kenangan daripada semua yang pernah mengetahui atau pernah bersama-sama di Bangas Sangkar, mohon berbagi kenangan. Terima kasih.

 

Iklan

3 respons untuk ‘BAGAS SANGKAR

  1. Najah Asri berkata:

    Pernah tanya mok, “kenapa guna sangkar? kan rumah ini besar.?”. Mok kata sangkar ini simbolik. Rumah yang kamar tidurnya banyak, diibaratkan spt sangkar merpati. Sesiapa saja boleh menginap, waima sekejap, mahupun berbulan2. Dan anak2 bebas utk tinggal di sini apabila dah kahwin atau pun mahu tinggal di rumah sendiri

    Bagas Sangkar ini ada 10 kamar tidur dan 7 kamar mandi.. Asalnya 9, tapi aboh tambah satu bilik tidur dan bilik air di atas, yg dulunya sebuah beranda besar. Untuk ke bilik tambahan ini, kenalah melalui kamar utama.

    Walaupun jumlah kamar tidur ini banyak tetapi tiap bilik dipenuhi tak kurang dari 3 orang penghuni. Adik beradik kami cuma 9 orang. Dua tinggal jauh, di London (sulung, menetap) dan di Kaherah(ke dua, belajar). Namun, penghuni di bagas ini ramai, dengan kehadiran saudara2 sepupu kami di sebelah emak dan 2 orang pembantu Chef Cik Timoh. Cik Min dan Chef Cik Timoh ada seorang anak perempuan yang sebaya dengan saya, juga tidur bersama2 kami di atas.

    Di tingkat bawah ada 2 kamar tamu yang dikosongkan, khusus untuk tetamu2 datang dan pergi. Majoriti tetamu kami datangnya dari negara Indonesia. Ada juga yang dari Jeddah dan Madinah. Bahkan Dr. Fatmah Az Zahra pun pernah menginap, waktu mula2 datang ke Malaysia slps kahwin dulu.

    Tugasan saya setiap kali ada tetamu ialah menjadi ‘flower’ girl – ala2 cute girl yg bagi bunga pada tetamu kehormat di upacara2 penting, gitu. Tugasan yang paling saya suka ialah menjadi ‘tourist guide’ – melayan tetamu untuk berwisata di sekeliling bandar ibukota hingga ke Genting Highland dan Melaka.

    Hampir setiap hujung minggu, aboh akan menjemput ustaz ke rumah, untuk buat usrah. Seawal lepas subuh, mok dah sibuk dgn Cik Min ke pasar borong Selayang. Pulang sj mok, anak2 semua diwajibkan menolong di dapur. Kerja saya – tolong Cik Min perah nyiur, guna kapitan nyiur, yg diperbuat daripada kayu chengal, yang mana nyiur yg sudah dimesin akan di masukkan ke dlm bekas rotan, dan di kapitkan di antara kayu kapitan nyiur. Tugas saya ialah duduk di hujung kapitan tersebut. Meriahkan?

    Bagas Sangkar sentiasa sibuk. Setiap kali masak nasi, Cik Timoh akan menyukat beras sebanyak 3 cupuk. Ya, Cik Timoh menggunakan cupuk untuk menyukat beras!. Tong gas, jika digunakan sepenuhnya, hanya cukup bertahan selama 3 hari sahaja!. Maka itu, Cik Timoh lebih suka menggunakan dapur kayu. Kayu untuk memasak dibeli dari kilang ‘sawmill’ di Kepong. Tiap petang, Cik Min akan mengerat2 kayu untuk bahan bakar.

    (Cerita Bagas sangkar ini terlalu banyak. Nantilah dilain kali Ajah akan sambung lagi.)

  2. Najah Asri berkata:

    Bagas Sangkar (BS) ni aboh beli dari keluarga mat saleh yg berasal dari negara Australia. Mereka menjualnya kerana hendak pulang ke tanah air sendiri. BS katanya dibina dari zaman British menjajah lagi.

    Ada banyak tempat letak kereta, di bahagian depan dan di tepi sebelah barat rumah. Kemudian ada lagi garaj tambahan untuk 6 buah kereta. Jadi, garaj tertutp boleh menampung 8 buah kereta besar dan 2 buah kereta boleh di parkir di garaj terbuka di hadapan.

    Tiga garaj tertutup di sebelah barat rumah (garaj ini tidak bersambung dengan rumah induk), aboh ubahsuai menjadikannya rumah untuk pemandu aboh, yang sudah bekeluarga. Garaj tersebut bertukar menjadi sebuah pavilion, yang mempunyai 2 kamar tidur, ruang tamu, kamar mandi dan dapur. Garaj yang tertutup di tepi rumah sblh barat, aboh tambah atap, menjadikannya muat untuk 4 buah kereta. Manakala parkir tebuka, aboh jadikan ruang tambahan untuk membaca akhbar (lihat gambar Moni dengan basikal di atas).

    Di hadapan BS, ada taman yang tuan asalnya dijadikan tempat bermain golf. Terdapat beberapa lubang golf di situ. Kawasan itu aboh ubahsuai menjadi ruang tamu tambahan dan ruang pejabat aboh.

    Mok suka berkebun. Di sebelah barat BS, terdapat dua pokok rambutan dan 3 pokok mangga harum manis. Dari Cik Timoh, saya dapat tahu bahawa kayu pokok rambutan sgt baik untuk memasak kerana kayunya akan menjadi bara yang baik. Buah mangga pula, mok akan peram dalam tong beras, supaya masaknya ranum dan manis dan akan dihadiahkan kpd tetamu2 yg datang dan kawan2 juga saudara mara. Mangganya besar-besar. Dua atau 3 biji buah mangga sudah penuh beg plastik ‘grokrak’. Anak2 dan cucu2 suka panjat pokok mangga yang tidak tinggi.

    Di sebelah timur BS, di belakang balasoh, mok taman berbagai jenis tanaman dan sayuran. Ada pokok cili, pokok gajus dan pokok2 ulam, khusus untuk makan dengan budu atau sambal tempoyak, kegemaran mok.

    Mok juga suka pelihara haiwan. Ada ayam, itik dan merpati di BS. Itik serati dan ayam dipeilhara, khusus untuk makan nasi2 yang tak habis. Jika nasi tidak berlebihan, Cik Min dah sediakan dedak. Reban ayam dan itik dibina di bhgn belakang rumah. Reban sentiasa bersih kerana kedudukannya bersebelahan dengan dapur kayu Chef Cik Timoh, belakang tingkap bilik Cik Timoh dan Cik Min. Di sebelah pagar, rumah jiran, terdapat kolam mandi. Mok akan pastikan reban dibersihkan setiap hari untuk meengelakkan pencemaran udara.

    Merpati pula adalah peliharaan aboh. Tiap pagi aboh akan taburkan makanan burung dari ruang membaca akhbar.

    Semua aktiviti ini dilakukan aboh dan mok setelah mereka pencen dari kesibukkan berpolitik.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout /  Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout /  Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout /  Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout /  Ubah )

Connecting to %s